Berita Terkini / Akan Datang...

» Selamat Hari Raya - Selamat Hari Raya kepada semua kakitangan....
» Exam Schedule for Sem2006/2007 - Please note the final exam schedule is out!

Pengenalan

Universiti Sains Malaysia telah menawarkan pengajian Komunikasi sejak tahun 1970 dengan penumpuan kepada falsafah pendidikan yang dapat menampung keperluan industri komunikasi di negara ini.

Pada peringkat awalnya Pengajian Komunikasi ditawarkan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dan para graduannya dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sastera.

Pada 20 Oktober 1982, Senat Universiti meluluskan penubuhan sebuah Lembaga Pengajian untuk menyemak semula kurikulum pengajian komunikasi untuk disepadukan ke dalam Pelan Induk Universiti Sains Malaysia. Penyemakan ini dibuat berdasarkan pada kemampuan universiti untuk menawarkan pengajian ilmu komunikasi yang kukuh serta desakan untuk menambah peluang dan tempat latihan dalam bidang tersebut.

Pada tahun 1983, Lembaga ini telah mengeluarkan satu laporan yang mencadangkan, antara lain, penubuhan Rancangan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi mulai Sidang Akademik 1984/1985. Cadangan ini telah diluluskan oleh Kementerian Pelajaran pada Jun 1984.

Struktur kurikulum asal Ijazah Sarjana Muda Komunikasi telah dilaksanakan sejak Sidang Akademik 1984/85. Setelah hampir 10 tahun dilaksanakan, struktur pengajian tersebut dipinda untuk mengambil kira perkembangan yang berlaku dalam industri komunikasi serta teguran yang dibuat oleh Pemeriksa-Pemeriksa Luar.

Justeru itu, kurikulum Ijazah Sarjana Muda Komunikasi telah dikaji dan dirombak semula. Kurikulum baru ini telah mula dilaksanakan pada Sidang Akademik 1994/95.

Selaras dengan pengumuman Menteri Pendidikan bahawa semua universiti tempatan diperlukan menawar pengajian tiga tahun peringkat ijazah, kurikulum yang ada telah dirombak semula untuk memenuhi keperluan tersebut. Kurikulum ini telah dilaksanakan mulai Sidang Akademik 1996/97.


Falsafah


Rancangan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi diwujudkan untuk menawarkan pendidikan Komunikasi yang luas berpandukan kepada keperluan gunatenaga negara.

Pendekatan yang akan digunakan bagi tujuan ini adalah bercorak:

Pendekatan pelbagai disiplin
Ini diamalkan dalam semua kursus komunikasi kerana bidang Komunikasi adalah satu pengajian yang melibatkan beberapa disiplin;

Pendekatan pendidikan liberal
Walaupun pelajar-pelajar membuat pengkhususan dalam bidang Komunikasi, mereka perlu juga mengambil kursus-kursus asas dan minor yang ditawarkan oleh pusat-pusat pengajian lain di Universiti ini; dan

Penyepaduan kursus-kursus teori dan amali
Keperluan untuk latihan amali adalah asas dalam pengajian Komunikasi.
Pelajar-pelajarnya akan mengalami pembelajaran melalui amalan.


Objektif


Di antara objektif utama Pusat Pengajian Komunikasi menawarkan Rancangan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi ialah:

Memahami proses dan operasi media dan yang berkaitan dengannya;

Menyediakan para pelajar untuk kerjaya dalam bidang Komunikasi;

Memberi latihan dalam kemahiran pengendalian media kepada semua pelajar yang memerlukannya;

Menolong, melalui penyelidikan, perundingan dan sebagainya, membangun dan memajukan sistem komunikasi negara.




© Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia, 11800 Penang, Malaysia
Developed and Maintained by Websmith ATP Sdh Bhd.